Showing posts with label Bab 3 Tingkatan 5. Show all posts
Showing posts with label Bab 3 Tingkatan 5. Show all posts

Monday, May 2, 2016

Pengertian pengoksidaan dan penurunan dari segi pemindahan elektron

Pengoksidaan ialah satu proses kehilangan elektron daripada sesuatu bahan tindak balas, manakala penurunan ialah satu proses penerimaan elektron oleh sesuatu bahan tindak balas.

Contoh 1

Tindak balas antara magnesium dengan gas oksigen.


i) Logam magnesium dioksidakan kerana atom magnesium kehilangan elektron untuk menjadi ion magnesium.

ii) Gas oksigen diturunkan kerana molekul oksigen menerima elektron dan menjadi ion oksida.

iii) Proses pengoksidaan dan penurunan berlaku secara serentak. Tindak balas ini disebut sebagai tindak balas redoks.

iv) Oksigen adalah agen pengoksidaan.

v) Magnesium adalah agen penurunan.


Contoh 2

Tindak balas logam natrium dengan gas klorin.


i) Logam natrium dioksidakan kerana atom natrium kehilangan elektron untuk menjadi ion natrium.

ii) Gas klorin diturunkan kerana molekul klorin menerima elektron untuk menjadi ion klorida.

iii) Proses pengoksidaan dan penurunan berlaku secara serentak. Tindak balas ini dipanggil tindak balas redoks.

iv) Klorin ialah agen pengoksidaan.

v) Natrium ialah agen penurunan.


Perhatikan bahawa:
  • Agen pengoksidaan merupakan penerima elektron.
  • Agen penurunan merupakan penderma elekton.

Sunday, February 15, 2015

Pengertian Pengoksidaan dan Penurunan Dari Segi Kehilangan dan Penambahan Oksigen dan Hidrogen

Sesuatu bahan tindak balas dikatakan telah dioksidakan jika mengalami penambahan oksigen atau kehilangan hidrogen.

Sebaliknya, suatu bahan tindak balas dikatakan telah diturunkan jika mengalami kehilangan oksigen atau penambahan hidrogen.


Contoh 1

Tindak balas antara magnesium dengan karbon dioksida.

  • Logam magnesium dioksidakan kepada magnesium oksida kerana penambahan oksigen berlaku.
  • Gas karbon dioksida diturunkan kepada karbon kerana oksigen disingkirkan.
  • Proses pengoksidaan dan penurunan berlaku secara serentak. Tindak balas ini disebut sebagai tindak balas redoks.
  • Karbon dioksida ialah agen pengoksidaan kerana menyebabkan magnesium dioksidakan.
  • Logam magnesium ialah agen penurunan kerana menyebabkan karbon dioksida diturunkan.


Contoh 2

Tindak balas antara logam aluminium dengan ferum (III) oksida.

  • Logam aluminium dioksidakan kepada aluminium oksida.
  • Ferum (III) oksida diturunkan kepada ferum.
  • Proses pengoksidaan dan penurunan telah berlaku secara serentak. Tindak balas ini disebut sebagai tindak balas redoks.
  • Ferum (III) oksida ialah agen pengoksidaan kerana menyebabkan magnesium dioksidakan.
  • Aluminium ialah agen penurunan kerana menyebabkan ferum (III) oksida diturunkan.


Contoh 3

Tindak balas antara gas hidrogen sulfida dengan klorin.

  • Hidrogen sulfida dioksidakan kepada sulfur kerana kehilangan hidrogen.
  • Gas klorin diturunkan kepada hidrogen klorida kerana penambahan hidrogen.
  • Proses pengoksidaan dan penurunan berlaku secara serentak. Tindak balas ini disebut sebagai tindak balas redoks.
  • Gas klorin ialah agen pengoksidaan.
  • Hidrogen sulfida ialah agen penurunan.


Contoh 4

Tindak balas antara air dengan gas fluorin.

  • Air dioksidakan kepada oksigen kerana kehilangan hidrogen.
  • Gas fluorin diturunkan kepada hidrogen fluorida kerana penambahan hidrogen.
  • Proses pengoksidaan dan penurunan berlaku secara serentak. Tindak balas ini disebut sebagai tindak balas redoks.
  • Gas fluorin ialah agen pengoksidaan.
  • Air ialah agen penurunan.


Perhatikan bahawa;
  1. Agen pengoksidaan merupakan penderma oksigen atau penerima hidrogen.

  2. Agen penurunan merupakan penerima oksigen atau penderma hidrogen.

Wednesday, December 26, 2012

Tindak Balas Redoks


Tindak balas redoks (redox reaction) ialah tindak balas kimia yang melibatkan proses pengoksidaan (oxidation) dan penurunan (reduction), dimana kedua-dua proses ini berlaku secara serentak.

Apabila sesuatu bahan dioksidakan dalam tindak balas redoks, sesuatu bahan yang lain akan diturunkan ataupun dengan yang sebaliknya.

Agen pengoksidaan (oxidizing agent) ialah bahan yang mengoksidakan bahan tindak balas yang lain. Dalam suatu tindak balas redoks, agen pengoksidaan mengalami proses penurunan supaya dapat mengoksidakan bahan yang lain.

Agen penurunan (reducing agent) ialah bahan yang menurunkan bahan tindak balas yang lain. Dalam suatu tindak balas redoks, agen penurunan mengalami proses pengoksidaan supaya dapat menurunkan bahan yang lain.

Pengoksidaan (oxidation) ialah suatu proses yang melibatkan
  • penambahan oksigen, atau
  • kehilangan hidrogen, atau
  • kehilangan elektron, atau
  • penambahan nombor pengoksidaan (keadaan pengoksidaan) bagi unsur-unsur yang terlibat dalam sesuatu tindak balas.

Penurunan (reduction) ialah suatu proses yang melibatkan
  • kehilangan oksigen, atau
  • penambahan hidrogen, atau
  • penambahan elektron, atau
  • pengurangan nombor pengoksidaan bagi unsur-unsur yang terlibat dalam sesuatu tindak balas.

Bagi menjelaskan pengertian pengoksidaan dan penurunan, perbincangan boleh dibuat terhadap tiga (03) aspek, iaitu;
  1. Kehilangan dan penambahan oksigen atau hidrogen.
  2. Pemindahan elektron.
  3. Perubahan nombor pengoksidaan unsur-unsur.