Tuesday, January 12, 2016

Elektrolisis

Menurut teori ion:
  • Sebatian ion yang lebur atau terlarut dalam air merupakan elektrolit.
  • Sebahagian sebatian kovalen yang larut dalam air menjadi elektrolit. Ini adalah kerana ikatan kovalen dalam molekul terputus dan pengionan menghasilkan ion-ion yang bebas bergerak.
  • Ion-ion yang bebas bergerak dalam leburan dan larutan akueus mengkonduksikan arus elektrik.

Elektrolisis (electrolysis) ialah proses dimana suatu leburan atau larutan akueus garam (elektrolit) diuraikan oleh arus elektrik kepada unsur-unsur juzuknya.

Sel elektolisis terdiri daripada punca elektrik (bateri), elektrod (katod, anod), dan elektrolit.

Arus elektrik daripada litar luar mengalir menerusi elektrolit melalui dua elektrod. Rod karbon (grafit) ialah elektrod yang biasa digunakan.

Anod (anode) ialah elektrod yang disambung kepada terminal positif bateri, manakala katod (cathode) ialah elektrod yang disambung kepada terminal negatif bateri.

Anod ialah elektrod positif yang menarik ion negatif (anion), manakala katod ialah elektrod negatif yang menarik ion positif (kation).

Semasa elektrolisis berlaku, kation tertarik kepada katod. Di katod, kation menyahcas dengan menerima elektron untuk membentuk atom unsur asalnya. 

Juga semasa elektrolisis berlaku, anion tertarik kepada anod. Di anod, anion menyahcas dengan melepaskan elektron untuk membentuk atom unsur asalnya.

Sel elektolisis yang menunjukkan pergerakan ion 
(anion tertarik kepada anod dan kation tertarik kepada katod).


Proses nyahcas (discharge) ialah proses dimana cas pada ion dineutralkan dengan menerima atau melepaskan elektron apabila ion-ion bersentuhan dengan elektrod masing-masing.

Fakta penting bagi proses elektrolisis:
  • Pergerakan kation ke katod.
  • Pergerakan anion ke anod.
  • Proses nyahcas berlaku di katod dan di anod.

No comments:

Post a Comment