Monday, June 22, 2015

Tindak Balas Eksotermik

Tindak balas eksotermik (exothermic reactions) ialah tindak balas di mana tenaga haba dibebaskan ke sekeliling.

Suhu sekeliling, iaitu suhu campuran tindak balas menaik dan bekas tindak balas menjadi panas.

Perubahan tenaga utama dalam tindak balas eksotermik ialah perubahan tenaga kimia kepada tenaga haba.

Tenaga haba dibebaskan semasa 
tindak balas eksotermik berlaku.

Tenaga kimia yang lebih dalam bahan tindak balas ditukarkan kepada tenaga haba, kemudiannya dibebaskan ke sekeliling semasa tindak balas berlaku. Oleh itu, jumlah tenaga bahan tindak balas adalah lebih tinggi daripada jumlah tenaga hasil tindak balas dalam tindak balas eksotermik.


Contoh tindak balas eksotermik:

a) Tindak balas pembakaran bahan api seperti karbon, petrol dan alkohol.

i) Pembakaran karbon dalam gas oksigen menghasilkan tenaga haba.

ii) Pembakaran lengkap etanol dalam gas oksigen membebaskan haba.


b) Tindak balas peneutralan.
Tindak balas peneutralan antara asid hidroklorik cair dengan larutan natrium hidroksida membebaskan haba.

c) Tindak balas antara asid cair dengan garam karbonat.
Tindak balas antara asid hidroklorik cair dengan kalsium karbonat membebaskan haba.

d) Tindak balas antara asid cair dengan logam lebih elektropositif seperti magnesium, zink dan aluminium.
Tindak balas antara asid sulfurik cair dengan pita magnesium membebaskan haba.

e) Tindak balas penyesaran logam.
Tindak balas penyesaran (displacement) logam antara serbuk zink dengan larutan kuprum (II) sulfat membebaskan haba.

f) Tindak balas logam natrium dengan air.

g) Tindak balas antara air dengan kuprum (II) sulfat kontang.

h) Pelarutan pepejal natrium hidroksida dalam air.
Kira-kira 5 g pepejal natrium hidroksida ditambah ke dalam kelalang kon yang mengandungi 50 cm3 air suling. Campuran dikacau supaya pepejal natrium hidroksida larut dalam air suling. Kelalang kon menjadi panas dan suhu larutan campuran menaik kerana pelarutan natrium hidroksida dalam air membebaskan haba.


Fakta penting bagi tindak balas eksotermik.
  • Haba dibebaskan ke persekitaran.
  • Suhu sekeliling meningkat.
  • Campuran tindak balas dan bekas tindak balas terasa panas.

Fakta penting bagi perubahan tenaga yang terlibat dalam tindak balas eksotermik.
  • Jumlah kandungan tenaga bahan tindak balas lebih tinggi daripada hasil tindak balas.
  • Jumlah tenaga yang terbebas semasa pembentukan ikatan kimia baru melebihi jumlah tenaga yang diserap semasa pemecahan ikatan lama.
  • ΔH adalah negatif.

No comments:

Post a Comment