Wednesday, March 11, 2015

Teori Kinetik Jirim

Jirim wujud dalam tiga keadaan fizik iaitu pepejal, cecair dan gas.

Mengikut teori kinetik jirim:
  • Semua jirim terdiri daripada zarah halus.
  • Zarah halus dalam jirim sentiasa bergerak secara rawak.
  • Zarah bahan yang berlainan mempunyai saiz yang berlainan.
  • Zarah bergerak lebih laju dan tenaga kinetik zarah bertambah apabila suhu meningkat.
  • Cecair mempunyai susunan zarah yang kurang rapat berbanding dengan pepejal. Zarah gas adalah paling berjauhan antara satu sama lain.

Susunan zarah dalam pepejal – Rapat, teratur, 
ruang antara zarah adalah kecil.


Susunan zarah dalam cecair – Tidak teratur, 
bersentuhan antara satu sama lain.


Susunan zarah dalam gas – Tidak teratur, 
terpisah jauh antara satu sama lain dengan 
ruang antara zarah yang besar.


Perbezaan daya tarikan di antara zarah, dan kandungan tenaga zarah dalam ketiga-tiga keadaan fizik jirim dihuraikan seperti jadual di bawah.

Aspek
Pepejal
Cecair
Gas
Daya tarikan antara zarah
Kuat
Kurang kuat
Sangat lemah
Kandungan tenaga dan gerakan zarah-zarah
Zarah mempunyai kandungan tenaga yang rendah dan tidak dapat mengatasi daya tarikan antara zarah. Oleh itu, zarah-zarah terletak pada kedudukan yang tetap, hanya dapat bergetar dan berputar. Tiada gerakan translasi zarah berlaku.
Zarah mempunyai lebih banyak tenaga dan dapat mengatasi daya tarikan antara zarah sehingga zarah-zarah dapat bergetar, berputar dan menggelongsor antara satu sama lain. Pergerakan zarah secara translasi berlaku.
Zarah mempunyai kandungan tenaga yang cukup kuat untuk mengatasi daya tarikan antara zarah dengan sepenuhnya sehingga zarah dapat bergerak bebas dengan pantas dan secara rawak ke mana-mana ruang yang ada serta berlanggar antara satu sama lain.


Perbezaan susunan zarah dan daya tarikan di antara zarah-zarah mempengaruhi sifat-sifat pepejal, cecair dan gas sesuatu jirim seperti bentuk, isipadu, ketumpatan dan kebolehmampatan. Jadual di bawah pula menunjukkan  sifat-sifat pada ketiga-tiga keadaan jirim.

Sifat
Pepejal
Cecair
Gas
Bentuk
Tetap
Mengikut bentuk bekas
Mengikut bentuk bekas
Isipadu
Tetap
Tetap
Mengikut isipadu bekas
Ketumpatan
Tinggi
Tinggi (tetapi kurang berbanding dengan bentuk pepejal)
Rendah
Kebolehmampatan
Sangat sukar (kerana susunan zarah-zarah sangat rapat dan ruang antara zarah sangat kecil)
Sukar (kerana terdapat sedikit ruang-ruang kosong di antara zarah-zarah)
Mudah (kerana ruang yang besar di antara zarah-zarah)

No comments:

Post a Comment