Monday, March 30, 2015

Penyediaan Sabun

Bahan utama yang digunakan untuk membuat sabun ialah:
  • Lemak haiwan atau minyak tumbuhan.
  • Larutan alkali seperti natrium hidroksida atau kalium hidroksida.
Proses saponifikasi (saponification) ialah tindak balas penghasilan sabun. Dalam proses saponifikasi, lemak atau minyak dipanaskan dengan larutan alkali seperti natrium hidroksida. Lemak atau minyak terurai kemudian membentuk garam natrium bagi asid lemak itu (sabun).

Jika alkali yang digunakan dalam proses saponifikasi ialah kalium hidroksida, sabun yang terbentuk ialah garam kalium bagi asid lemak itu.

Proses saponifikasi ialah gabungan dua tindak balas:
  • Hidrolisis ester (minyak atau lemak) yang dimangkinkan oleh larutan beralkali.
  • Tindak balas peneutralan antara asid lemak yang terbentuk dalam tindak balas hidrolisis dengan larutan beralkali.
Dalam proses hidrolisis, lemak atau minyak terurai menjadi gliserol dan asid lemak (perhatikan bahawa tindak balas hidrolisis ester merupakan songsangan bagi tindak balas pengesteran).


Asid lemak yang terbentuk kemudian dineutralkan oleh larutan alkali untuk membentuk garam asid lemak (sabun) dan air.


Tindak balas keseluruhan ialah proses saponifikasi: (I) + (II):


Sebagai contohnya,

a) Asid palmitik C15H31COOH ialah sejenis asid lemak yang terkandung dalam minyak kelapa sawit. Sabun yang dibuat melalui proses saponifikasi minyak kelapa sawit ialah garam bagi asid palmitik, iaitu natrium palmitat, C15H31COOHNa, atau kalium palmitat, C15H31COOK.

Formula struktur natrium palmitat, C15H31COONa.

b) Lemak kambing mengandungi asid stearik. Sabun yang terhasil melalui proses saponifikasi lemak haiwan ini ialah garam asid stearik, iaitu natrium stearat, C17H35COONa, atau kalium stearat, C17H35COOK.

Formula struktur natrium palmitat, C17H35COONa.

Jadual di bawah menunjukkan jenis lemak atau minyak yang digunakan untuk membuat sabun.

Asid lemak
Contoh sumber
Nama sabun
Formula sabun
Asid oleik, C17H33COOH
Minyak zaitun, minyak jagung, kacang tanah, lemak ikan paus
Natrium oleat
C17H33COONa
Asid palmitik, C15H31COOH
Minyak kelapa sawit
Kalium palmitat
C15H31COOK
Asid laurik, C11H23COOH
Minyak kelapa
Kalium laurat
C11H23COOK
Asid stearik,
C17H35COOH
Lemak kambing
Natrium stearat
C17H35COONa

Contoh penyediaan sabun natrium stearat adalah seperti berikut:

a) Molekul gliseril tristearat dalam lemak haiwan dipecah kepada molekul gliserol dan molekul asid stearik (asid lemak) dalam tindak balas hidrolisis. Tiga molekul asid stearik terhasil daripada satu molekul gliseril tristearat. Tindak balas hidrolisis ini dimangkinkan oleh natrium hidroksida.


b) Asid stearik yang terbentuk ini kemudiannya bertindak balas dengan larutan natrium hidroksida dalam tindak balas peneutralan untuk membentuk air dan garam natrium stearat, iaitu sabun.


Tindak balas keseluruhan ialah proses saponifikasi: (1) + (2)


c) Sabun yang terbentuk kemudiannya dicampurkan dengan bahan tambahan seperti minyak wangi dan pewarna sebelum dibungkuskan untuk dijual.

1 comment: