Monday, March 2, 2015

Pembentukan Ion Positif (Kation)

Atom-atom unsur logam biasanya mempunyai 1, 2 atau 3 elektron valens. Atom-atom ini berkecenderungan melepaskan elektron valensnya untuk mencapai susunan elektron yang stabil seperti gas adi.

Elektron yang dilepaskan daripada atom neutral menghasilkan ion yang bercas positif, kerana bilangan proton adalah lebih daripada bilangan elektron dalam ion yang terbentuk. Bilangan cas positif pada ion itu adalah bilangan elektron valens yang dilepaskan oleh atom itu.

Bilangan cas pada ion positif adalah perbezaan antara bilangan proton dan bilangan elektron dalam ion itu.


Contoh 1

Pembentukan ion natrium, Na+

Atom natrium mempunyai 11 proton, 11 elektron, dan 12 neutron. Susunan elektron atom natrium, 2.8.1, adalah tidak stabil. Bagi mencapai susunan elektron yang stabil seperti gas adi, satu atom natrium melepaskan satu elektron valens untuk membentuk ion bercas satu positif.


Ion natrium mempunyai satu cas positif kerana ion natrium mengandungi 10 cas negatif daripada 10 elektron dan 11 cas positif daripada 11 proton. Formula kimia bagi ion natrium ialah Na+.

Pembentukan ion natrium.


Perbandingan atom natrium dengan ion natrium.


Contoh 2

Pembentukan ion magnesium, Mg2+

Atom magnesium dengan 12 proton, 12 elektron, dan 12 neutron yang mempunyai susunan elektron 2.8.2 adalah tidak stabil.

Bagi mencapai susunan elektron yang stabil, satu atom magnesium melepaskan dua elektron valens untuk membentuk ion bercas dua positif.


Dalam ion magnesium, terdapat 12 proton, 10 elektron, dan 12 neutron. Cas pada ion magnesium adalah dua positif. Ini adalah kerana 10 cas negatif daripada elektron hanya dapat meneutralkan 10 cas positif daripada proton. Maka, ion magnesium berlebihan dua cas positif.

Pembentukan ion magnesium.


Perbandingan atom magnesium dengan ion magnesium.

No comments:

Post a Comment