Tuesday, May 14, 2013

Teori Zarah Jirim


Jirim (matter) ialah sebarang benda yang mempunyai jisim dan memenuhi ruang.

Jirim dikelaskan kepada unsur dan sebatian.

Unsur merupakan bahan yang terdiri daripada satu jenis atom sahaja. Unsur dibahagikan kepada unsur logam (logam besi) dan unsur bukan logam (oksigen).

Sebatian ialah bahan yang terdiri daripada dua atau lebih unsur yang terikat secara kimia. Sebatian dibahagikan kepada sebatian ion dan sebatian kovalen.

Mengikut teori zarah jirim;
  1. Jirim terdiri daripada zarah-zarah yang halus dan diskrit.
  2. Zarah-zarah sesuatu jirim sentiasa bergerak.

Zarah-zarah yang membina jirim wujud dalam pelbagai bentuk iaitu:

Atom (dalam unsur logam dan gas adi).
  • Zarah neutral yang terdiri daripada elektron yang bergerak mengelilingi nukleus yang terbina daripada proton dan neutron.
  • Zarah yang paling ringkas dan tidak stabil kecuali atom gas adi.
  • Contoh: satu atom magnesium, satu atom karbon, dll.

Molekul (dalam unsur bukan logam dan sebatian kovalen)
  • Zarah neutral yang merupakan gabungan dua atau lebih atom yang sama atau berlainan jenis.
  • Stabil.
  • Contoh: 
    i. Satu molekul air terdiri daripada satu atom oksigen dan 2 atom hidrogen, H2O
    ii. Satu molekul oksigen yang terdiri daripada 2 atom oksigen, O2.



Ion (dalam sebatian ion)
  • Zarah bercas yang terdiri daripada atom yang kehilangan elektron (ion positif) atau atom yang menerima elektron (ion negatif).
  • Stabil.
  • Contoh: 
    i. Ion natrium, Na+, terbentuk daripada atom natrium yang kehilangan elektron. 
    ii. Ion klorida, Cl-, terbentuk daripada atom klorida yang telah menerima elektron.

Zarah-zarah dalam sesuatu unsur mungkin merupakan atom atau molekul. Dalam unsur logam dan gas adi, zarah wujud sebagai atom. Bagi kebanyakan unsur bukan logam, atom-atom bergabung antara satu sama lain untuk membentuk molekul. Zarah unsur bukan logam biasanya wujud sebagai molekul. Contohnya;
  • Logam besi ialah unsur yang mengandungi satu jenis atom sahaja, iaitu atom besi.
  • Oksigen ialah unsur bukan logam yang mengandungi satu jenis atom, iaitu atom oksigen. Dua atom oksigen bergabung untuk membentuk satu molekul oksigen. Oleh itu, zarah-zarah dalam gas oksigen merupakan molekul oksigen, O2.
  • Unsur bukan logam seperti hidrogen, nitrogen, klorin, fosforus, sulfur, bromin, iodin dan fluorin juga mengandungi zarah-zarah molekul.

Zarah-zarah dalam suatu sebatian mungkin merupakan molekul atau ion. Sebatian ion mengandungi zarah ion manakala sebatian kovalen mengandungi zarah molekul. Contohnya;
  • Air ialah sebatian kovalen kerana terdiri daripada molekul yang terbentuk daripada gabungan atom oksigen dan atom hidrogen, iaitu H2O.
  • Garam biasa (natrium klorida) ialah sebatian ion kerana terdiri daripada ion natrium dan ion klorida yang terbentuk daripada unsur natrium dan unsur klorin masing-masing.

Eksperimen-eksperimen yang menyokong Teori Zarah Jirim adalah termasuk;
  • Resapan gas bromin dalam udara.
  • Resapan kalium manganat (VII) dalam air.
  • Resapan kuprum (II) sulfat dalam pepejal.
  • Gerakan Brown.
  • Eksperimen titisan minyak (anggaran saiz zarah).

No comments:

Post a Comment