Monday, January 7, 2013

Asid


Asid (acid) ialah bahan yang mengandungi atom-atom hidrogen yang mengion dalam air untuk menghasilkan ion hidroksonium (hydroxonium ions), H3O+.

Ion hidroksonium digambarkan sebagai ion hidrogen yang berpadu dengan molekul air.

H+ + H2O → H3O+ (ion hidroksonium)

Oleh itu, ion hidroksonium H3O+ juga ditulis sebagai H+ (ak).

Apabila gas hidrogen klorida dilarutkan dalam air, molekul hidrogen klorida, HCl mengion untuk menghasilkan ion hidrogen, H+, dan ion klorida, Cl-.

Ion hidrogen kemudiannya berpadu dengan air untuk membentuk ion hidroksonium. Larutan yang terbentuk disebut asid hidroklorik (hydrochloric acid).


Asid juga ditakrifkan sebagai penderma proton apabila larut dalam air kerana ion hidrogen hanya mempunyai satu proton.

Kebesan (basicity) sesuatu asid ialah bilangan atom hidrogen dalam setiap molekul asid yang mengion dalam larutan akueusnya (aqueous) untuk menghasilkan ion hidrogen (hydrogen ions).

Asid dengan setiap molekulnya mengion dalam larutan akueus untuk menghasilkan satu ion hidrogen disebut sebagai asid monobes dan kebesan (basicity) asid ini adalah satu.

HCl → H+ + Cl-

Asid dengan setiap molekulnya mengion dalam larutan akueus untuk menghasilkan dua ion hidrogen disebut asid dwibes dan kebesan (basicity) asid ini adalah dua.

H2SO4 → 2H+ + SO42-

Perhatikan bahawa asid etanoik (ethanoic acid) adalah asid monobes. Walaupun satu molekul asid etanoik mengandungi 4 atom hidrogen tetapi hanya satu atom hidrogen mengion dalam larutan akueus untuk menghasilkan satu ion hidrogen.


Jadual di bawah menunjukkan pelbagai asid yang digunakan dalam kehidupan harian.

Nama asid
Formula kimia
Kebesan (basicity)
Asid hidroklorik
HCl
Satu (monobes)
Asid nitrik
HNO3
Satu (monobes)
Asid etanoik
CH3COOH
Satu (monobes)
Asid sulfurik
H2SO4
Dua (dwibes)
Asid karbonoik
H2CO3
Dua (dwibes)
Asid fosforik
H3PO4
Tiga (tribes)
Kebesan (basicity) bagi beberapa asid yang tertentu.



Nama asid
Penggunaan
Asid sulfurik
Membuat baja kimia, detergen, polimer, dan sebagai elektrolit
bagi akumulator asid-plumbum
Asid nitrik
Membuat baja garam nitrat, bahan letupan dan plastik
Asid hidroklorik
Menghilangkan karat, mencuci logam untuk disadur elektrik
Asid metanoik
Membeku susu getah
Asid benzoik
Mengawet makanan
Asid etanoik
Membuat cuka dan mengawet makanan
Penggunaan asid.


Peranan air dalam menunjukkan sifat asid

Apabila sesuatu asid dilarutkan dalam air, penceraian molekul asid menghasilkan ion hidroksonium.

Kehadiran ion hidroksonium dalam larutan akueus menyebabkan larutan ini menunjukkan sifat asidnya.

Tanpa kehadiran air, sesuatu asid tulen yang kering tidak menunjukkan sifat asid kerana ion hidroksonium tidak wujud.

1 comment: