Kimia (chemistry) adalah kajian mengenai jirim (matter), komposisi dan perubahan yang dilaluinya.
Jirim (matter) adalah apa jua benda (samada hidup atau bukan hidup) yang memenuhi ruang (occupies space) dan mempunyai jisim (mass). Dalam erti kata lain, jirim adalah apa jua benda yang mempunyai isipadu (volume) dan jisim.
Contoh jirim adalah buku, pen, kerusi, air, udara dan tumbuh-tumbuhan. Contoh bukan jirim (non-matter) adalah seperti elektrik dan cahaya.
Teori zarah menyatakan jirim terdiri zarah diskret yang sangat kecil. Kajian sifat zarah dalam jirim adalah seperti berikut:
Zarah asas yang membentuk jirim adalah atom, molekul atau ion.
Kewujudan zarah adalah disokong oleh beberapa pemerhatian (observation). Antara contohnya adalah seperti berikut:
- Apabila setitik dakwat biru jatuh ke dalam air didalam sebuah bikar, warna biru dakwat tersebut merebak ke seluruh air. Ini menunjukkan bahawa dakwat terdiri daripada zarah dalam gerakan (particles in motion).
- Apabila paip gas di makmal dibuka, bau gas dapat dikesan dengan serta-merta. Ini menunjukkan bahawa gas juga adalah terdiri daripada zarah dalam gerakan.
Unsur (element) adalah bahan yang tidak boleh dijadikan apa-apa jua yang lebih mudah atau diringkaskan lagi melalui sesuatu tindak balas kimia.
Zarah dalam beberapa unsur (element) terdiri daripada atom. Sebagai contoh, logam seperti emas, tembaga, besi, zink, kesemuanya terdiri daripada atom.
Sebatian (compound) adalah bahan yang boleh dibuat kepada sesuatu yang lebih kecil melalui tindak balas kimia.
Sebatian (compounds) mengandungi lebih dari satu unsur. Unsur-unsur dalam suatu sebatian itu tidak hanya bercampur-campur antara satu sama lain, ianya juga beserta dengan daya yang kuat yang dipanggil ikatan kimia (chemical bond).
Sebatian tidak mempunyai sifat-sifat yang sama seperti unsur-unsur yang terkandung di dalamnya.
Suatu sebatian adalah:
- Dibentuk oleh tindak balas kimia.
- Mempunyai sifat yang berbeza daripada unsur-unsur yang terkandung didalamnya.
Zarah dalam sebatian boleh terdiri daripada molekul atau ion.
Molekul terdiri daripada dua atau lebih atom-atom yang dipegang bersama (held together) oleh suatu ikatan kimia. Molekul juga adalah zarah yang tidak bercas.
Molekul boleh terdiri daripada atom dari unsur yang sama, contohnya molekul oksigen (O2), molekul nitrogen (N2), molekul hidrogen (H2) dan molekul sulfur (S8).
Molekul boleh juga terdiri daripada atom dari dua atau lebih unsur yang tidak sama, contohnya molekul air (H2O) yang terdiri daripada dua atom hidrogen dan satu atom oksigen, dan karbon dioksida (CO2) yang terdiri daripada satu atom karbon dan dua atom oksigen.
Sesetengah molekul boleh menjadi terlalu besar, contohnya kuinin (quinine) yang merupakan dadah yang digunakan bagi merawat pesakit malaria, mempunyai formula C20H24N2O2.
Walau bagaimanapun, beberapa sebatian terdiri daripada atom atau kumpulan atom yang membawa cas positif atau negatif. Zarah bercas (charged particle) tersebut dipanggil ion. Sebagai contoh, garam, NaCl, terdiri daripada ion natrium (Na+) dan ion klorida (Cl-). Karat pada paku besi terdiri daripada ion ferum (III) (Fe3+) dan ion oksida (O2-).
Ion-ion yang bercas positif dipanggil kation (cation). Sebagai contoh, ion natrium (Na+) dan ion ferum (III) (Fe3+) adalah kation.
Ion-ion yang bercas negatif dipanggil anion. Sebagai contoh, ion klorida (Cl-) dan ion oksida (O2-) adalah anion.
Secara umumnya, logam membentuk ion positif manakala bukan logam membentuk ion negatif. Beberapa contoh kation dan anion adalah sepert jadual di bawah.
No comments:
Post a Comment