Tuesday, February 24, 2015

Gerakan Brown

Gerakan Brown ialah gerakan rawak zarah-zarah sesuatu jirim berbentuk zig-zag yang dapat diperhatikan di bawah mikroskop apabila zarah-zarah ini dilanggar oleh zarah-zarah lain yang lebih halus dan tidak dapat dinampak.

Gerakan Brown dijumpai oleh ahli sains British bernama Robert Brown.

Pada 1827, Robert Brown memerhatikan (melalui mikroskop) debunga bergerak secara zig-zag di dalam air. Beliau menamakan gerakan ini sebagai gerakan Brown.
Gerakan Brown.

Sebagai contoh, zarah-zarah asap bergerak secara rawak dalam bentuk zig-zag. Ini adalah kerana zarah udara bergerak dengan cepat dan secara rawak serta sentiasa menghentam zarah-zarah asap. Ini menyebabkan zarah-zarah asap bergerak dalam bentuk zig-zag. Zarah-zarah udara adalah lebih halus daripada zarah asap.

Monday, February 23, 2015

Resapan

Resapan (diffusion) ialah proses pergerakan zarah-zarah dari kawasan dengan kepekatannya yang lebih tinggi ke kawasan dengan kepekatannya yang lebih rendah.

Kadar resapan dalam gas adalah paling tinggi, kemudian dikuti dengan cecair, dan resapan dalam pepejal adalah yang paling rendah.

Pergerakan zarah-zarah dalam keadaan gas adalah paling cepat, manakala pergerakan zarah-zarah dalam pepejal adalah paling lambat. Hal ini disebabkan susunan zarah pepejal adalah lebih rapat berbanding dengan gas.

Pergerakan zarah sesuatu jirim untuk mengisikan ruang kecil antara zarah-zarah pepejal adalah lambat.

Zarah-zarah gas tidak teratur dan berjauhan antara satu sama lain dengan ruang antara zarah-zarah yang besar. Oleh itu, zarah-zarah sesuatu jirim dapat mengisikan ruang antara zarah dalam gas dengan cepat.


Sunday, February 15, 2015

Pengertian Pengoksidaan dan Penurunan Dari Segi Kehilangan dan Penambahan Oksigen dan Hidrogen

Sesuatu bahan tindak balas dikatakan telah dioksidakan jika mengalami penambahan oksigen atau kehilangan hidrogen.

Sebaliknya, suatu bahan tindak balas dikatakan telah diturunkan jika mengalami kehilangan oksigen atau penambahan hidrogen.


Contoh 1

Tindak balas antara magnesium dengan karbon dioksida.

  • Logam magnesium dioksidakan kepada magnesium oksida kerana penambahan oksigen berlaku.
  • Gas karbon dioksida diturunkan kepada karbon kerana oksigen disingkirkan.
  • Proses pengoksidaan dan penurunan berlaku secara serentak. Tindak balas ini disebut sebagai tindak balas redoks.
  • Karbon dioksida ialah agen pengoksidaan kerana menyebabkan magnesium dioksidakan.
  • Logam magnesium ialah agen penurunan kerana menyebabkan karbon dioksida diturunkan.


Contoh 2

Tindak balas antara logam aluminium dengan ferum (III) oksida.

  • Logam aluminium dioksidakan kepada aluminium oksida.
  • Ferum (III) oksida diturunkan kepada ferum.
  • Proses pengoksidaan dan penurunan telah berlaku secara serentak. Tindak balas ini disebut sebagai tindak balas redoks.
  • Ferum (III) oksida ialah agen pengoksidaan kerana menyebabkan magnesium dioksidakan.
  • Aluminium ialah agen penurunan kerana menyebabkan ferum (III) oksida diturunkan.


Contoh 3

Tindak balas antara gas hidrogen sulfida dengan klorin.

  • Hidrogen sulfida dioksidakan kepada sulfur kerana kehilangan hidrogen.
  • Gas klorin diturunkan kepada hidrogen klorida kerana penambahan hidrogen.
  • Proses pengoksidaan dan penurunan berlaku secara serentak. Tindak balas ini disebut sebagai tindak balas redoks.
  • Gas klorin ialah agen pengoksidaan.
  • Hidrogen sulfida ialah agen penurunan.


Contoh 4

Tindak balas antara air dengan gas fluorin.

  • Air dioksidakan kepada oksigen kerana kehilangan hidrogen.
  • Gas fluorin diturunkan kepada hidrogen fluorida kerana penambahan hidrogen.
  • Proses pengoksidaan dan penurunan berlaku secara serentak. Tindak balas ini disebut sebagai tindak balas redoks.
  • Gas fluorin ialah agen pengoksidaan.
  • Air ialah agen penurunan.


Perhatikan bahawa;
  1. Agen pengoksidaan merupakan penderma oksigen atau penerima hidrogen.

  2. Agen penurunan merupakan penerima oksigen atau penderma hidrogen.